Pages

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :


"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
... dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Sunday, February 19, 2012

Jakim punya pakar lulus halal

Logo Halal
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai pakar dalam pelbagai bidang untuk menjamin kredibiliti sijil dan logo halal Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, ramai menyangka pegawai Jakim yang terlibat dalam prosedur pensijilan halal adalah kakitangan berkelulusan dalam bidang agama Islam semata-mata.
 
“Di Jakim terdapat Bahagian Hab Halal yang menguruskan Pensijilan Halal Malaysia sama ada dalam atau luar negara. Pegawai di bahagian ini terdiri daripada pegawai hal ehwal Islam dan pegawai teknologi makanan atau pegawai teknikal dari Kementerian Kesihatan mengikut kepakaran masing-masing.
 
“Untuk menjadi auditor atau penguat kuasa halal sekurang-kurangnya diploma dan ijazah dalam Pengajian Islam yang disebut sebagai pegawai syariah atau diploma dan ijazah dalam teknologi makanan atau bidang kepakaran berkaitan yang disebut sebagai pegawai teknikal. Sementara mereka yang menguruskan sistem e-halal adalah pegawai teknologi maklumat,” kata beliau.
 
Tambahnya, malah mereka yang pakar dalam syariah, undang-undang Islam, bidang makanan, kosmetik, farmaseutikal, sembelihan, bahan ramuan, logistik dan sistem e-halal menjadi kriteria utama untuk terlibat dalam prosedur pensijilan halal.
 
“Kemudian mereka wajib menghadiri kursus Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, Pemahaman Syariah, Pengauditan Halal, Standard Halal, GMP, GHP dan HACCP, Pemantauan dan Penguatkuasaan,” katanya.
 
Beliau berkata, oleh kerana teknologi makanan dan produk berkembang pesat dan semakin kompleks, sukar untuk menentukan status halal hanya berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan fizikal semata-mata.
 
Sehubungan itu katanya, kepakaran dan tauliah pegawai sangat membantu pengurusan pensijilan halal yang dilaksanakan Jakim di samping jaringan lain terutama infrastruktur.
 
“Buat masa ini Jakim akan menghantar sampel ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk menganalisis sumber sesuatu produk sekiranya terdapat keraguan.
 
“Kadang-kadang ia mengambil masa yang lama membuat analisa terutama melibatkan parameter asid deoxyribonucleic (DNA). Ini menjadi cabaran kepada Jakim untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam tempoh 30 hari selepas bayaran dibuat oleh pemohon sijil,” katanya.
 
Menurutnya, bagi memperkasakan fungsi Jakim seiring dengan desakan permintaan pengguna yang tinggi Jakim kini sedang dalam proses untuk membangunkan makmal analisis sendiri yang dijangka siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada 2014.
 
Othman berkata, dengan adanya makmal persendirian, ia dapat mempercepatkan proses pensijilan pemohon.
 
“Bagaimanapun, untuk tindakan penguatkuasaan undang-undang, Jakim masih menggunakan makmal Jabatan Kimia. Kedua-dua pihak kini dalam proses melantik makmal panel bagi mempercepatkan proses pensampelan di peringkat audit,” katanya.
 
Penjelasan Othman itu mencerahkan tanggapan dan pandangan segelintir individu yang melabel seseorang pegawai Jakim yang terlibat dalam prosedur halal sebagai seorang pegawai agama semata yang bersongkok dan datang melawat premis sambil mengepit fail.
 
Sebaliknya, petugas yang terlibat adalah pegawai bertauliah di samping terdapat infrastruktur canggih.

Saturday, February 4, 2012

Standard halal bagi barangan kulit, bulu dan tulang akan diperkenal

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia sedang menyediakan piawaian halal khusus untuk barangan kulit, bulu dan tulang haiwan. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, berkata apabila siap kelak, piawaian itu akan digunakan sebagai garis panduan untuk persijilan halal bagi barangan berkenaan dalam usaha menjaga sensitiviti pengguna beragama Islam.
"Bila cakap tentang persijilan halal, masyarakat hanya fikir tentang makanan atau minuman sedangkan barangan yang kita pakai setiap hari mungkin tidak halal. Jadi itu pentingnya standard halal untuk barangan itu," katanya kepada Bernama. - BERNAMA

Wednesday, February 1, 2012

Tiada kesilapan ejaan pada logo halal: JAKIM

KUALA LUMPUR: Ejaan 'Malaysia' pada tulisan jawi di logo halal Malaysia yang dilaporkan terdapat kesilapan ejaan pada perkataan itu adalah satu kekeliruan dan tidak ada sebarang kesilapan ejaan. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, penggunaan perkataan 'Malaysia' dalam tulisan jawi pada logo halal baru dikeluarkan jabatan itu bukan ejaan jawi bagi perkataan Malaysia, sebaliknya adalah nama Malaysia dalam bahasa Arab.
"Oleh itu, tidak timbul isu kesilapan ejaan kerana logo halal Malaysia menggunakan perkataan Arab dan bukanlah ejaan jawi seperti yang dinyatakan," kata JAKIM dalam kenyataan hari ini.
JAKIM mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang bertajuk "Kesilapan ejaan Malaysia pada tulisan jawi logo halal JAKIM". 

Jabatan itu mendaftarkan logo halal sebagai Tanda Pensijilan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia di bawah Akta Cap Dagangan 1976. 

Logo halal Malaysia yang sedia ada, sudah lama digunakan dan didaftarkan pada 2001 berdasarkan ciri-ciri iaitu antaranya bintang berbucu di tengah bulatan dan dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab tersebut. - BERNAMA