Pages

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :


"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
... dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Sunday, March 11, 2012

Lolipop pendafluor dilarang | Batang plastik gula-gula mengandungi bahan boleh sebabkan kanser


PEGAWAI Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow menunjukkan lolipop pendafluor atau fluorescent lollipop yang bercahaya dalam gelap kerana mengandungi bahan kimia berbahaya pada batang pemegangnya. - Foto Zuhainy Zulkiffli
Mar 12, 2012 7:17 am



PEGAWAI CAP, NV Subbarow menunjukkan lolipop pendafluor yang ada bahan kimia berbahaya pada pemegangnya, baru-baru ini.

Batang plastik gula-gula mengandungi bahan boleh sebabkan kanser

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam.

Beliau berkata, Kementerian sudah meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor.
“Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6, iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 'Jom Sihat' di Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju di sini, semalam.

Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa kementerian berdasarkan alamat pada pembungkus gula-gula itu, didapati alamat yang digunakan palsu.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.

Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya dan menjadi kegilaan kanak-kanak.
Katanya, berdasarkan ujian oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam, batang plastik lolipop itu mengandungi bahan seperti ftalat dan Poly Aromatic Carbon (PAH).

“PAH adalah sejenis bahan kimia yang bertoksik dan hanya digunakan untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata gejala obesiti di kalangan penduduk Malaysia meningkat tiga kali ganda iaitu daripada 4.4 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada tahun lalu.

Sehubungan itu, penyakit kencing manis di kalangan penduduk negara ini juga menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus pada tahun lalu. – BERNAMA   

Wednesday, March 7, 2012

Roti manis inti besi


KUALA LUMPUR: Seorang ibu tergamam apabila menyedari anak lelakinya hampir tertelan objek besi dipercayai serpihan pisau ketika asyik menikmati roti manis yang dibeli dari sebuah stesen minyak berhampiran Taman Len Seng, Cheras, di sini.

Pekerja swasta, Azizatul Naem Ismail, 34, berkata dia terkejut apabila mendapati objek besi sepanjang garis pusat itu terdapat dalam roti berkenaan yang hampir habis dimakan anaknya dalam kejadian 15 Februari lalu itu.

Katanya, dia bagaimana pun bersyukur anaknya, Muhammad Wafi Najib, 9, tidak tertelan objek tajam itu sebaik menyedari kehadirannya dalam roti berkenaan apabila dia tergigit serpihan besi itu.

Azizatul berkata, akibat tidak berpuas hati dengan kejadian itu, dia bertemu dengan pemilik stesen minyak bagi mengadu hal berkenaan sebaliknya ditawarkan RM60 atau diganti roti baru.


“Saya menolak ganti rugi berkenaan kerana bukan itu yang saya mahukan tetapi saya mahu perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Tuesday, March 6, 2012

Guna logo halal Jakim sebelum akhir Mei


Logo Halal
BERA - Semua premis perniagaan makanan diberi tempoh sehingga akhir Mei untuk mula menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis perniagaan masing-masing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Jakim sahaja yang sah mengeluarkan logo halal, manakala logo lain termasuk yang dikeluarkan pihak swasta adalah tidak diiktiraf.
"Penguatkuasaan logo halal Jakim akan bermula pada 1 Julai depan dan premis perniagaan yang menggunakan logo selain dikeluarkan Jakim boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011 (i) Seksyen 16," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 1,109 penduduk Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Kerayong di sini, hari ini.
Katanya, bagi individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat atau premis berdepan denda RM500,000.
Ismail Sabri berkata Jakim bersama kementeriannya telah menubuhkan satu jawatan khas pemantauan berhubung penggunaan logo halal itu di mana anggota  tersebut akan bertindak tegas ke atas premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan dan peraturan yang dikeluarkan.
"Kita kini sedang mengadakan lawatan serta kunjungan ke premis perniagaan dengan menasihati pemiliknya supaya menukar segera logo lama serta mengikuti garis panduan yang ditetapkan," katanya. – Bernama

Sunday, March 4, 2012


MELAKA: Arahan supaya semua premis menjual makanan di Malaysia hanya menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berkuat kuasa sejak dua bulan lalu, masih gagal dipatuhi sepenuhnya.
Tinjauan Metroplus mendapati masih banyak restoran di sekitar bandar ini menggunakan logo halal dipercayai dikeluarkan syarikat swasta bagi menarik kehadiran pengguna Islam. 
Malah, ada juga sebuah restoran menggunakan logo bentuknya seakan logo halal Jakim, tetapi di dalamnya tertera ‘pork-free’ atau bebas daging babi.

Penggunaan logo berkenaan masih menimbulkan tanda tanya terhadap pengguna Islam mengenai penguatkuasaan yang sepatutnya dilakukan bagi memastikan tidak timbul kekeliruan.

Pengguna, Shahril Mohd Zangi, 34, berkata isu halal terutama makanan amat penting dan kerajaan perlu bertindak lebih tegas kepada peniaga yang gagal mematuhi arahan.

Katanya, mungkin tidak semua pengguna Islam di Malaysia tahu mengenai hanya satu logo diiktiraf dan peniaga belum menurunkan logo halal lain.

“Apabila perkara ini tidak dipantau pengguna Islam terus makan di situ sedangkan status halalnya masih diragui.

“Sepatutnya pemantauan dan operasi besar-besaran dilakukan untuk mengarahkan peniaga terbabit menurunkan logo halal selain dikeluarkan Jakim bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Shahril berkata, Melaka turut dikunjungi pelancong Islam dari luar negara, mungkin mereka tidak mengetahui hanya logo halal Jakim diiktiraf.

Katanya, apabila ini berlaku sudah pasti mereka mengunjungi restoran berkenaan akibat terlepas pandang oleh pihak berkuasa.

“Saya berharap perkara ini diatasi segera bagi mengelakkan timbul masalah di kemudian hari atau peniaga terbabit terus menggunakan logo berkenaan untuk meyakinkan pengguna Islam,” katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Mohd Sukri Abdullah, 26, berkata perkara ini amat serius dan perlu dibanteras segera bagi membolehkan orang Islam memilih premis menjual makanan yang diiktiraf halal.

Katanya, terdapat banyak restoran terutama di pusat beli-belah, tetapi pengguna hanya yakin restoran itu halal sekiranya ia dipamerkan logo mengenainya.

“Di samping itu, pihak berkuasa perlu memberi penerangan konsep makanan halal mengikut hukum syarak terhadap pengusaha makanan bukan semata-mata premis mereka bebas menjual daging babi.

“Ada pihak menggunakan tanda perniagaan mereka bebas babi, tetapi hakikatnya mereka tidak mengetahui sumber atau bahan yang diadun dalam makanan itu halal atau tidak perlu juga diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Mohd Zin Mansor berkata, pihaknya akan mengarahkan pemilik premis terbabit menurunkan logo halal selain dikeluarkan Jakim sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.

Katanya, sekiranya ia masih digunakan mereka, pihaknya akan melakukan operasi bagi menurunkan logo halal berkenaan.

“Peniaga atau pengusaha makanan yang menggunakan logo halal selain dikeluarkan Jakim mereka diminta membuat permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan halal dari Jakim.

“Sekiranya mereka masih menggunakan logo yang tidak diiktiraf tindakan diambil terhadap mereka,” katanya.

20 aduan halal sehari


PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima lebih 20 aduan sehari yang disalurkan orang ramai melalui e-mel agensi berkenaan, yang kebanyakannya membabitkan isu halal dan haram membabitkan produk dan premis makanan.
Jurucakap Unit Perhubungan Awam Jakim berkata, pihaknya memang kerap menerima pertanyaan dan aduan berkaitan isu halal, sekali gus menunjukkan masyarakat semakin prihatin mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rekod aduan pada Januari lalu, pihaknya mendapati kategori pertanyaan dan aduan awam mengenai isu itu jauh lebih tinggi berbanding 11 kategori aduan lain. “Pada Januari lalu sebanyak 121 daripada sejumlah 219 aduan dan pertanyaan yang diterima daripada orang ramai membabitkan isu halal.
“Ia membabitkan aduan seperti premis yang mempamerkan logo halal tidak diiktiraf Jakim, isu semasa mengenai halal serta kepastian status halal pada sesuatu produk makanan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, statistik itu juga menunjukkan kategori lain membabitkan kemusykilan agama, aduan ke agensi lain dan pertanyaan umum kedua tertinggi selepas isu halal, mencatatkan 54 aduan. “Kategori membabitkan artikel serta laman web ajaran menyeleweng dan menghina Islam adalah ketiga tertinggi iaitu sebanyak 40 aduan.

“Seterusnya dua aduan diterima bagi kategori perkhidmatan tidak memuaskan termasuk kaunter, laman web dan telefon.
“Kategori kelewatan dan tiada tindakan serta kategori salah guna kuasa atau penyelewengan masing-masing satu aduan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 195 daripada 219 aduan itu sudah diselesaikan, manakala 24 aduan lagi masih dalam siasatan. “Semua aduan perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu bagi mendapatkan bukti kukuh sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
“Malah, ia turut membabitkan beberapa prosedur sebelum tindakan susulan dilakukan. Bagaimanapun, Jakim sentiasa memantau dan berusaha memastikan aduan dapat diselesaikan segera,” katanya. Orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang aduan, cadangan dan pertanyaan, boleh melayari laman web di www.islam.gov.my serta klik pada paparan Maklum Balas atau Aduan di sebelah kiri halaman utama dan mengisi ruang kosong disediakan.