Pages

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :


"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
... dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Wednesday, May 16, 2012

Halal bukan sekadar "penyembelihan" sahaja

  PETALING JAYA - Kata orang, 'menegur' anak biarlah bermula sejak dari usia kecil lagi, bak kata peribahasa Melayu lama, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

Tidak kira sama ada 'teguran' itu bersifat ke arah pembentukan sahsiah peribadi anak mahupun pembelajaran mereka, adalah sebaiknya ia bermula ketika mereka masih kecil.

Sikap seseorang itu mana mungkin dapat dilenturkan bila sudah melonjak dewasa, sekiranya boleh pun ia mengambil masa agak lama. Tidak terkecuali, dalam soal amalan, pengetahuan berkaitan pendidikan halal di kalangan pengguna Islam.

Menerapkan pendidikan halal sejak awal, amat penting kerana kejahilan pengetahuan bakal membuka pintu besar ke arah pengambilan sumber haram sekali gus menjadi darah daging mereka.
Menyedari kepentingan itu, akhirnya menginjak Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menerbitkan buku halal di bawah program 'Halal Discovery for Young Leaders' khusus bertujuan memberi pendidikan halal di peringkat awal kanak-kanak.

Mendapatkan informasi 'halal' di kalangan pengguna Islam dewasa bukanlah sukar kerana ia boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk rujukan sama ada pencetakan mahupun laman sesawang.
Namun, bagaimana pula dengan kanak-kanak? Kebanyakan ibu bapa, selalunya menerapkan pendidikan halal di kalangan anak hanyalah sekadar perkara asas sahaja iaitu, halal pada konteks cara penyembelihan dan sumber itu sendiri (babi, anjing, arak).

Walhal, ruang lingkup konsep 'halal' itu sebenarnya sangat luas dan perlu difahami baik oleh pengguna Islam kerana ia bukanlah sekadar merangkumi dua faktor itu sahaja.

Apatah lagi, masa kanak-kanak adalah lebih banyak diperuntukkan di luar (sekolah, kelas tuisyen) berbanding ibu bapa, yang memerlukan mereka membuat 'keputusan bijak' semasa pembelian makanan terutama memastikan hanya sumber halal sahaja yang dipilih.

"Bukan sahaja orang dewasa perlu faham akan konsep halal, tetapi juga kanak-kanak. Masa terbaik menerapkan pendidikan halal adalah sejak mereka kanak-kanak lagi.

"Kefahaman mereka (kanak-kanak) bukan sekadar makan benda yang elok, halal, tetapi juga dia faham apa sumber... mengapa kita kena makan benda halal.
"Kanak-kanak apabila telah diterapkan sejak dari kecil maklumat halal, ia (maklumat) akan berkekalan sehingga dewasa... sentiasa ingat semasa membeli sesuatu produk, makanan," kata Pengurus Kanan Pusat Sokongan Halal Global (GHSC)HDC Rohaizad Hassan (HE) kepada Bernama.

Bagi sesuatu makanan atau produk mendapatkan persijilan halal Malaysia, ia perlu melalui beberapa peringkat termasuk dari sudut kebersihan dan keselamatan terhadap pengguna, iaitu konsep 'halalan thoyyiban'.

Secara ringkas, konsep ini menjelaskan bahawa kelulusan persijilan halal tidak bergantung 100 peratus kepada faktor sumber sahaja, namun turut meliputi proses penyediaan.

Konsep ini perlu difahami dengan jelas kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang maklum akan perkara ini, apatah lagi kanak-kanak.
Mengulas lebih lanjut, Pengurus Pembangunan Maklumat Pusat Sokongan Halal Global (GHSC) HDC Marina Muhamad berkata terdapat beberapa peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan yang perlu diikuti semasa proses mendapatkan persijilan halal.

"Ia bukan sahaja perlu mengikut syarat syariah, tetapi juga peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Mana-mana produk yang telah dapat persijilan halal, ia bukan sahaja halal tetapi diproses dalam keadaan bersih dan selamat dimakan.
"Jadi, katakanlah produk itu datang daripada sumber halal, diproses pun ikut cara halal, gunakan peralatan halal tetapi terdapat satu kandungannya boleh menyebabkan penyakit, seperti keracunan, maka sijil halal itu tidak akan dikeluarkan," katanya.

Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana halalan thoyyiban melindungi pemakanan masyarakat dari segi kebersihan dan eselamatan.

Pemahaman pengguna lebih tertumpu kepada produk, makanan yang ada logo 'halal', namun secara realiti agak kurang sebenarnya pendedahan diberikan terhadap profesion 'eksekutif halal'.

Walhal, profesion ini amat penting dalam merealisasikan matlamat negara menjadi halal hab. Tambahan pula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mewajibkan setiap syarikat yang terlibat dalam industri halal perlu mempunyai dua eksekutif halal.

Namun, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan eksekutif halal ini? Menurut laman sesawang Halal Malaysia, http://www.halal.gov.my, eksekutif halal memainkan peranan dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem kawalan halal dalaman.

"Profesional seperti ahli kimia dalam industri kosmetik, farmaseutikal memang ada, memang ramai. Tetapi, yang mempunyai nilai tambah dalam pengetahuan halal tidak ramai.

"Ini disebabkan, hanya universiti tertentu sahaja yang menjadikan subjek halal sebagai satu daripada silibus mereka. Justeru, kebanyakan lepasan graduan ini perlu mengambil kursus berlainan (subjek halal) sekiranya mereka hendak memasuki industri halal. Di HDC,  kami ada tawarkan 'halal executive programme'," katanya.
Menyedari profesion eksekutif halal adalah antara komponen penting merealisasikan matlamat negara menjadi sebuah hab halal global, HDC tampil menerbitkan buku di bawah program 'Halal Discovery for Young Leaders'.

Diterbitkan dalam dua versi bahasa (Melayu, Inggeris), buku ini boleh dikatakan julung kali diadakan khusus untuk pendidikan halal di kalangan kanak-kanak.

Menurut Rohaizad, buku ini bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak kepada kepentingan logo halal, kesedaran pengetahuan halal, pemahaman halalan thoyyiban malah sebagai satu medium pemangkin kepada industri halal.

Dihasilkan secara kreatif, menarik, dan menggunakan pelbagai warna untuk tarikan kanak-kanak, ia memberi pendedahan awal kepada komuniti muda ini akan pekerjaan yang tergolong dalam industri halal.
Terbahagi kepada dua peringkat umur, empat hingga enam tahun (buku aktiviti halal) dan tujuh hingga sembilan tahun (informasi halal), Rohaizad berkata HDC dalam perancangan bersama Kementerian Pelajaran untuk menjadikannya sebagai buku pembelajaran di  sekolah.
Sekiranya perbincangan itu dipersejui, sebanyak 10,000 pelajar seluruh negara akan terlibat dalam program ini.

"Industri halal akan dry off, exhausted kalau tidak ada kesinambungan future leaders (eksekutif halal) untuk terus memangkin industri ini. Sebab itu, HDC sebagai badan yang mempromosikan industri halal kali ini menerusi segmen baru fokus kepada kanak-kanak.

"Buku ini, membantu pada jangka masa panjang. Mula dengan kanak-kanak sahaja tetapi impaknya cukup besar kerana dapat melahirkan lebih banyak eksekutif halal pada masa depan," katanya. - Bernama